HIBURAN HALAL: Perlukan Promosi

Halal atau Haram?
Isu yang ‘trending’ suatu ketika dulu (sekarang dah jadi suam-suam kuku!) di mana-mana social media termasuk di kalangan bloggers adalah tentang cerita halal coklat Cadbury…sekejap tak halal…sekejap boleh jadi halal.  Baiklah, saya pun nak ‘join’ juga isu hangat ini walaupun sudah lambat, tapi bukan untuk mengesahkan sijil halal atau tak halal pada Cadbury tapi lebih kepada sikap masyarakat kita menafsirkan peri pentingnya perkara HALAL dalam kehidupan.

Tidak dapat dinafikan, kesan dari isu ini kepada sesebuah entity pemilikan perniagaan di Malaysia, juga di Indonesia akan terjejas teruk dari segi pemasarannya, kecuali kepada produk-produk yang terang-terang bukan halal atau memang bukan untuk pasaran orang Islam. 

Cadbury

Foto dari Harian Metro
Bagi yang memang sensitif dan memang sentiasa berusaha untuk menjaga pemakanan mereka, isu Cadbury ini sudah tentu akan membuatkan mereka menjauhkan terus dari jenama ini, mungkin untuk selama-lamanya, walaupun ada pihak-pihak yang berkuasa atau menjadi pemantau kepada penentuan halal atau tidak sesuatu barangan itu mereka sudah tidak peduli lagi. Ragu-ragu itu subhah dan amalan para sahabat Nabi dan wali sejak dari dulu memang menolak bukan saja yang haram malah yang duduk di tengah antara halal dan haram itulah subhah yang wajib ditolak. Memang ada hadis qudsi mengenai perkara ini dan diharap pembaca yang masih tidak mengetahuinya silalah cari-cari di google search tentang hadis ini! Atau tanya saja para-para ustaz yang ramai sekarang!

Jenama

Sumber: http://www.eat-halal.com/
Soalnya mereka yang berniaga ini sudah tentu tahu pasaran mereka dan harapnya selepas ini mereka-mereka ini mengambil tahu tentang semua asal-usul ramuan-ramuan dari sekecil-kecil perisa atau bahan agar mengelak dari perkara ini menjadi isu seperti hal Cadbury pada masa akan datang.  Banyak masa, tenaga dan wang yang dilabur untuk menjadikan sesebuah jenama itu sehingga peringkat sekarang dan sudah tentu untuk mengembalikan kepercayaan kepada jenama ini akan menelan belanja yang lebih besar.

Namun untuk sekadar muhasabah diri saya dan semua pembaca yang bersetuju, kita juga harus mengambil iktibar kenapa kita selalu ‘double-standard’ dalam perkara halal-haram ini. Umpamanya rokok yang masih lagi ramai menghisapnya walaupun sudah difatwakan ianya haram.  Masih ramai lagi termasuk yang bergelar ustaz masih merokok!  Riba juga haram tetapi kita mengamalkan system riba dalam urusan kehidupan kita, untuk membeli rumah, kenderaan dan lain-lain. Tidak nampak usaha-usaha yang gigih dari sesebuah organisasi atau komuniti Islam yang bergerak menangani perkara haram ini secara konsisten malah tidak pula “jijik” untuk mengamalkannya!

Muzik

Kumpulan pop rock OZON dari Pendang, Kedah
Apa pula kaitan rencana ini dengan muzik? Sebuah blog berkenaan perniagaan muzik bercerita tentang halal-haram? Apa kena-mengena pula?

Sudah tentu ada kena-mengena. Muzik adalah  terpenting dalam setiap medium pengisian fitrah kreatif seperti filem, video, animasi dan menjadi tarikan populariti bagi mengisi sesuatu majlis atau pengacaraan samada acara hiburan atau tidak.  Kita tidak pernah dengar lagi ada yang berusaha untuk menjadikan sumber hiburan untuk umat Islam di kalangan kita bersumberkan hiburan halal?

Ironinya kita gelarkan hiburan seperti nasyid, zikir dan qasidah sebagai  hiburan alternatif? Dan bukannya hiburan halal? Ataupun hiburan yang mengikut adab? Ada yang lebih ekstrim terus ‘mengharamkan’ muzik! Realistikkah tindakan itu sebab kita hidup di zaman yang semuanya memerlukan “screen monitor” termasuk computer, tablet, smartphone dan pelbagai jenis apps?

Hiburan berasaskan sekular

Dan kita terus menerima hiburan berasaskan sekular sehingga ke suatu tahap ‘terpaksa’ menerimanya sebagaimana kita ‘terpaksa’ menerima system riba dalam setiap urusan kewangan kita.

Isu cetak-rompak juga ada kaitannya dengan halal-haram ini. Ada kalangan kita yang masih tidak faham atau sengaja dan buat-buat tidak faham bahawa menaikturun lagu-lagu dan mengedarkan lagu-lagu adalah dikira sebagai pencuri!
Hiburan membentuk budaya dan budaya membentuk peradaban. Peradaban pula membentuk tamadun. Tamadun apa yang kita hendak corakkan kepada generasi ummah selepas ini?

Amat sukar untuk pengeluar-pengeluar kandungan hiburan berlandaskan syarak bersaing dengan kandungan hiburan sekular. Ditambah dengan umat Islam yang juga telah ‘larut’ dalam siaran bertalu-talu samada memang disukai ataupun di ‘strategikan’ untuk memikat atau mengelirukan umat Islam, kita perlukan dana promosi yang besar untuk mendekatkan produk hiburan Islam bukan saja kepada umat Islam tetapi juga seluru dunia. 

Umat Islam memang amat perlukan hiburan yang berlandas atau mengikut syarak. Kita telah lama membiarkan urusan hiburan halal ini 'di bawah karpet' seolah-olah tidak mahu kita tafsir secara terbuka. Kita amat perlukan hiburan halal dianggap tidak kurang pentingnya dengan produk halal makanan dan pakaian. Kita perlukan program pemasaran yang besar dan komited. Adakah MATRADE boleh menerajunya?

Sumber: http://www.mihas.com.my/#sthash.JJM5v7n7.dpbs

Comments

Popular Posts