Friday, July 18, 2014

Rock Melayu sebagai wadah ukhuwah nusantara?

Kumpulan SATIRA antara rock band yang mampu bertahan.


























Assalamualakum dan selamat berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga semua usaha dan amal kita di bulan ini memperolehi tingkatan barokah yang tertinggi di sisi Allah SWT, Tuhan penguasa alam semesta. Selawat dan puji-pujian jua atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga serta sahabat-sahabatnya, semoga memperolehi ganjaran-ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT. Amiin.

Umum mengetahui muzik rock di Malaysia pernah menjadi muzik arus perdana tanahair sehingga melimpah ke negara-negara nusantara yang lain seperti di Indonesia, Singapore, Brunei dan Selatan Thailand dan Filipina.  Di waktu puncaknya, beberapa kumpulan rock Malaysia seperti Search, Wing dan Iklim berjaya memasuki pasaran Indonesia yang dikatakan sukar menerima lagu-lagu dari Malaysia atau Singapore. Wallahualam!

Ini kisah kajian saya

Sejak tahun lepas dan awal tahun ini saya membuat kajian dengan mengunjungi ke beberapa tempat kota-kota pendalaman seperti di Malang, Bayu Wangi, Pekalongan, Bukit Tinggi dan Banda Aceh, sempat juga melawat beberapa stesyen radio frekuensi di sana dan saya agak terperanjat kebanyakkan mereka masih memutar dan mendendangkan lagu-lagu lama rock kapak atau  "Rock Melayu". Saya memang tahu populariti Search, Wings, Iklim, Slam, May dan beberapa kumpulan rock Malaysia yang popular di zaman masing-masing iaitu dari era M.Nasir, Ramli Sarip ke generasi rock Kopratasa, Saari Amri yang akhirnya ke era Eddie Hamid.

Yang memeranjatkan saya adalah melihat dengan mata kepala sendiri pengaruh musik ini yang begitu fenomena dan unggul di kalangan peminat musik rakyat marhaen Indonesia masa lalu hingga masa kini tetapi tidak di Malaysia.
Di sini kita menganggap musik ini sejenis musik yang lapuk dan hanya untuk orang lama (otai) walaupun beberapa stesyen radio swasta kerap memutar lagu-lagu rock otai popular ini tetapi jelas mereka hanya semata-mata ingin mengaut ' engagement ' populariti peminat rock melayu ini yang  memang ramai tetapi tidak sesekali pun berusaha untuk MEMBANGUNKAN GENRE INI! Mereka akur dengan kehebatan lagu-lagu rock Melayu yang memberi kesan 'ranking' yang baik kepada stesyen radio atau TV tetapi tidak mempromosi sebarang musik rock Melayu yang baru sebaliknya fokus kepada rock modern!
Perlu diingatkan juga bahawa sumber hasil dari royalti hakmilik lagu (music publishing) dan hakmilik rakaman (soundrecording right) serta royalti persembahan kebanyakkannya adalah milik tokeh-tokeh besar tempatan dan syarikat rakaman luar negara yang dikutip setiap tahun dengan RTM. Media Prima dan Asto serta rangkaian pasaraya mall dan pusat-pusat karaoke menjadi pembayar terbesar dengan jumlah yang besar tetapi ironinya mereka kini tidak lagi membuat album-album baru bagi MEMBANGUNKAN GENRE INI! sadis benar hakikat ini, tetapi itulah kenyataannya!

KOMUNITAS PENCINTA MUSIK ROCK MELAYU

Di Indonesia begitu berbeza perspektifnya, kecuali di Jakarta dan di Bandung, setiap teksi yang saya naik di kota-kota pendalaman yang disebut di atas, pasti akan ada lagu rock melayu dan juga dangdut. Mereka juga juga membangunkan musik ini secara komunitas dengan membuat pencarian dan membantu anak-anak muda bergiat dalam musik ini. Antaranya KOMUNITAS PENCIPTA ROCK MELAYU di bawah pimpinan bapak Muhammad Husnun Nashar yang mempunyai cabang atau ranting di seluruh negara Indonesia terutamanya di Sumatera dan Kalimantan.
Antara ranting atau cabang KPMRM, tidakkah ini dinamakah ukhuwah se Nusantara?
Menurut beberapa pemilik dan DJ stesyen-stesyen radio yang sempat saya kunjungi mengatakan lagu-lagu rock melayu amat terkesan kepada mereka khususnya di luar-luar bandar tetapi malangnya sukar untuk mendapatkan mp3 atau album-album tersebut. Lalu mereka terpaksa mencari-cari dalam Youtube (free downloadlah tu!) tp ada yang tidak boleh digunakan kerana kualitinya teramat rendah.

Delegasi syarikat rakaman Malaysia ke Festival Musik Antarabangs MIDEM@2014 di Cannes, France, anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Bahagian Musik dan MATRADE dengan kerjasama Recording Industry Malaysia of Aasociation (RIM). Membawa dan mempromosi industri Muzik Malaysia?
Peminat-peminat Musik rock melayu ini ramai dan kebanyakkan stesyen ini terpaksa memberi segmen khas setiap hari selama beberapa jam khusus untuk peminat-peminatnya mendengar, membuat permintaan lagu dan mengetahui perkembangan semasa artis-artis rock melayu ini yang sebenarnya tidak lagi popular di sini akibat kekangan 'penentu-penentu arus muzik Malaysia', kononnya.
Sebut saja nama M.Nasir, sudah pasti peminat musik Rock Melayu kenal beliau, seseorang yang sebenarnya mengubah landskap musik rock barat kepada bercirikan rock nusantara. Foto ini semasa bersama beliau dan delegasi syarikat rakaman Malaysia di bawah RIM semasa misi promosi perdagangan Malaysia di Festival Muzik Antarabangsa MIDEM@2013 di Cannes, France.
Pertemuan saya kembali kawan lama Lan dari kumpulan Gamma yang juga sudah lama berada di pasaran Indonesia tapi menumpu kepada Riau dan Sumatera, ternyata membuktikan bahawa memang pengaruh musik rock melayu ini begitu kuat sehinggakan kebanyakkan kumpulan-kumpulan rock 'percikan' (maaflah saya mengistilahkan ini semata-mata menzahirkan kenyataan!) pun mendapat perhatian dan begitu diminati.

Bukti ini diterjemahkan dengan Lan Gamma & Supermen yang baru muncul dengan album baru mendapat jemputan dari pemerintah Riau untuk mengisi program hiburan untuk rakyat mereka di Kota Dumai baru-baru ini.


Terfikir oleh saya kenapa tidak jadikan musik Rock Melayu ini sebagai wadah dan jambatan untuk mengusai masalah 'ketegangan' suatu waktu dulu (walaupun kini semakin reda!) bagi mewujudkan keharmonian rumpun Melayu dan semakin pudar terutama di kalangan warga muda kedua belah negara?

Musik diakui mempunyai kuasa mistik menjadi bahasa mesra yang mewujudkan kasih-sayang atau kebencian, terpulang kepada apa matlamatnya ianya di buat, dicipta dan dipromosikan serta didengar. Meminggirkan pengaruh musik ini akan hanya meminggirkan peminat-peminat musik rock melayu tegar yang kebanyakkannya adalah rakyat marhaen. Dan yang paling terbaik, musik Rock Melayu ini diterima hampir di seluruh kepulauan Nusantara.

Oleh itu usaha perlu dilakukan bagi mengembang dan meneruskan pembangunan genre music ini agar kembali dimartabat di tempat yang selayaknya, bukan dihina akibat dari kemiskinan dan kenipisan ilmu mereka;

1. Teruskan usaha untuk memperbanyakkan artis/band rock melayu di kalangan anak-anak muda bagi meneruskan kesinambungan musik rock ke generasi seterusnya. Kerajaan juga harus membantu kalangan ini agar mereka tidak tersisih dalam sebarang bantuan atau geran yang diperuntukkan dalam industri kreatif, hanya disebabkan kebanyakkan mereka tidak begitu faham bahasa Inggeris yang menjadi kriteria utama dalam sebarang urusan terutama di MDec dan Cradle Fund.
Album paling terbaru dari kumpulan SATIRA antara otai yang kembali dalam indsutri muzik dan merakam album baru.
2. Teruskan berusaha membuat melodi, lirik dan arrangement serta produksi yang berkualiti dengan membuat kajian terhadap lagu-lagu popular ciptaan Datuk M.Nasir, Datuk Ramlli Sarip serta rakan-rakannya yang pernah suatu ketika menguasai industri muzik tanah air dan seberang. Umum mengetahui bahawa kebanyakkan band semasa awal 90an hingga 2000 tidak memainkan sebarang alatan muzik kerana semuanya diuruskan oleh pemuzik undangan, malah kebanyakkan mereka juga tidak diberi peluang untuk merakam lagu-lagu ciptaan dan arrangement mereka sendiri. Justeru kini mereka kembali sudah tentu jika dibuat proses ini adalah baru bagi mereka walaupun mereka itu dikatakan otai. Maksud saya belajarlah untuk mengetahui semua kaedah teknologi terutama software rakaman yang banyak terdapat di pasaran dan mudah digunakan yang hanya memerlukan sebuah PC atau laptop. Dan belajar juga untuk berubah menjadi usahawan muzik. Tiada lagi syarikat rakaman dan tempoh anda dibelai oleh syarikat menerusi PR sudah berakhir. Anda harus melakukan 'almost everything' oleh anda sendiri! Cukup-cukuplah anda menjadi penyumbang kepada kekayaan tokeh-tokeh besar itu menerusi royalti yang dikutip menerusi sistem moden sekarang dan sekarang anda boleh menjadi tokeh tersebut. Tetapi harus ingat usaha ini bukan boleh berjaya dalam masa yang singkat.

Kumpulan URGENT sempat merilis 2 album di bawah penerbit M.Nasir dalam tahun 1988 dan 1989.
3. Baru-baru ini RTM telah memberi peluang kepada genre music rock ini bersiaran di stesyen TV dan seharusnya jenama ini harus dijenamakan semula. Program "ROCKERS APA KHABAR" (RAK) sekadar permulaan yang baik tetapi di kalangan pemain genre ini, anda harus memberikan satu nama khusus iaitu ROCK MELAYU sebagai satu nama yang mudah dipromosi. Buanglah perkataan rock kapak, rock lagenda, rock cintan atau apa-apa yang berkaitan dengan gelaran musik rock melayu ini. Cadangan saya sekiranya ada lagi siri RAK akan datang, seharusnya nama Rockers Melayu perlu diberi peluang untuk penjenamaan semula.

4. Lanjutan dari perkara 3 di atas, event untuk mencari band-band baru malah pencipta-pencipta lagu/lirik baru khususnya di kalangan anak-anak muda harus dipergiatkan dengan kerjasama RTM atau mana-mana agensi kerajaan khususnya Kementerian Belia. Konsep membuat event yang serentak pada satu-satu masa seperti Konsert Belia di Putrajaya dulu seharusnya dikembangkan ke seluruh negara dalam skop yang lebih kecil. Namakan event ini juga dengan menonjolkan Rock Melayu.
"Menurut kata Datuk M.Nasir, memang rock nusantara atau Rock Melayu ini unik kerana ianya tidak dapat dibuat oleh pemuzik-pemuzik rock lain walaupun dari US atau Eropah kerana jiwa rock melayu itu sebati dengan Melayu itu sendiri."

Apa yang membezakan rock Melayu dari musik rock yang lain? Ini jawapannya.




Akan disambung sekiranya ada masa, insyaaAllah!