Friday, July 18, 2014

Rock Melayu sebagai wadah ukhuwah nusantara?

Kumpulan SATIRA antara rock band yang mampu bertahan.


























Assalamualakum dan selamat berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga semua usaha dan amal kita di bulan ini memperolehi tingkatan barokah yang tertinggi di sisi Allah SWT, Tuhan penguasa alam semesta. Selawat dan puji-pujian jua atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga serta sahabat-sahabatnya, semoga memperolehi ganjaran-ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT. Amiin.

Umum mengetahui muzik rock di Malaysia pernah menjadi muzik arus perdana tanahair sehingga melimpah ke negara-negara nusantara yang lain seperti di Indonesia, Singapore, Brunei dan Selatan Thailand dan Filipina.  Di waktu puncaknya, beberapa kumpulan rock Malaysia seperti Search, Wing dan Iklim berjaya memasuki pasaran Indonesia yang dikatakan sukar menerima lagu-lagu dari Malaysia atau Singapore. Wallahualam!

Ini kisah kajian saya

Sejak tahun lepas dan awal tahun ini saya membuat kajian dengan mengunjungi ke beberapa tempat kota-kota pendalaman seperti di Malang, Bayu Wangi, Pekalongan, Bukit Tinggi dan Banda Aceh, sempat juga melawat beberapa stesyen radio frekuensi di sana dan saya agak terperanjat kebanyakkan mereka masih memutar dan mendendangkan lagu-lagu lama rock kapak atau  "Rock Melayu". Saya memang tahu populariti Search, Wings, Iklim, Slam, May dan beberapa kumpulan rock Malaysia yang popular di zaman masing-masing iaitu dari era M.Nasir, Ramli Sarip ke generasi rock Kopratasa, Saari Amri yang akhirnya ke era Eddie Hamid.

Yang memeranjatkan saya adalah melihat dengan mata kepala sendiri pengaruh musik ini yang begitu fenomena dan unggul di kalangan peminat musik rakyat marhaen Indonesia masa lalu hingga masa kini tetapi tidak di Malaysia.
Di sini kita menganggap musik ini sejenis musik yang lapuk dan hanya untuk orang lama (otai) walaupun beberapa stesyen radio swasta kerap memutar lagu-lagu rock otai popular ini tetapi jelas mereka hanya semata-mata ingin mengaut ' engagement ' populariti peminat rock melayu ini yang  memang ramai tetapi tidak sesekali pun berusaha untuk MEMBANGUNKAN GENRE INI! Mereka akur dengan kehebatan lagu-lagu rock Melayu yang memberi kesan 'ranking' yang baik kepada stesyen radio atau TV tetapi tidak mempromosi sebarang musik rock Melayu yang baru sebaliknya fokus kepada rock modern!
Perlu diingatkan juga bahawa sumber hasil dari royalti hakmilik lagu (music publishing) dan hakmilik rakaman (soundrecording right) serta royalti persembahan kebanyakkannya adalah milik tokeh-tokeh besar tempatan dan syarikat rakaman luar negara yang dikutip setiap tahun dengan RTM. Media Prima dan Asto serta rangkaian pasaraya mall dan pusat-pusat karaoke menjadi pembayar terbesar dengan jumlah yang besar tetapi ironinya mereka kini tidak lagi membuat album-album baru bagi MEMBANGUNKAN GENRE INI! sadis benar hakikat ini, tetapi itulah kenyataannya!

KOMUNITAS PENCINTA MUSIK ROCK MELAYU

Di Indonesia begitu berbeza perspektifnya, kecuali di Jakarta dan di Bandung, setiap teksi yang saya naik di kota-kota pendalaman yang disebut di atas, pasti akan ada lagu rock melayu dan juga dangdut. Mereka juga juga membangunkan musik ini secara komunitas dengan membuat pencarian dan membantu anak-anak muda bergiat dalam musik ini. Antaranya KOMUNITAS PENCIPTA ROCK MELAYU di bawah pimpinan bapak Muhammad Husnun Nashar yang mempunyai cabang atau ranting di seluruh negara Indonesia terutamanya di Sumatera dan Kalimantan.
Antara ranting atau cabang KPMRM, tidakkah ini dinamakah ukhuwah se Nusantara?
Menurut beberapa pemilik dan DJ stesyen-stesyen radio yang sempat saya kunjungi mengatakan lagu-lagu rock melayu amat terkesan kepada mereka khususnya di luar-luar bandar tetapi malangnya sukar untuk mendapatkan mp3 atau album-album tersebut. Lalu mereka terpaksa mencari-cari dalam Youtube (free downloadlah tu!) tp ada yang tidak boleh digunakan kerana kualitinya teramat rendah.

Delegasi syarikat rakaman Malaysia ke Festival Musik Antarabangs MIDEM@2014 di Cannes, France, anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Bahagian Musik dan MATRADE dengan kerjasama Recording Industry Malaysia of Aasociation (RIM). Membawa dan mempromosi industri Muzik Malaysia?
Peminat-peminat Musik rock melayu ini ramai dan kebanyakkan stesyen ini terpaksa memberi segmen khas setiap hari selama beberapa jam khusus untuk peminat-peminatnya mendengar, membuat permintaan lagu dan mengetahui perkembangan semasa artis-artis rock melayu ini yang sebenarnya tidak lagi popular di sini akibat kekangan 'penentu-penentu arus muzik Malaysia', kononnya.
Sebut saja nama M.Nasir, sudah pasti peminat musik Rock Melayu kenal beliau, seseorang yang sebenarnya mengubah landskap musik rock barat kepada bercirikan rock nusantara. Foto ini semasa bersama beliau dan delegasi syarikat rakaman Malaysia di bawah RIM semasa misi promosi perdagangan Malaysia di Festival Muzik Antarabangsa MIDEM@2013 di Cannes, France.
Pertemuan saya kembali kawan lama Lan dari kumpulan Gamma yang juga sudah lama berada di pasaran Indonesia tapi menumpu kepada Riau dan Sumatera, ternyata membuktikan bahawa memang pengaruh musik rock melayu ini begitu kuat sehinggakan kebanyakkan kumpulan-kumpulan rock 'percikan' (maaflah saya mengistilahkan ini semata-mata menzahirkan kenyataan!) pun mendapat perhatian dan begitu diminati.

Bukti ini diterjemahkan dengan Lan Gamma & Supermen yang baru muncul dengan album baru mendapat jemputan dari pemerintah Riau untuk mengisi program hiburan untuk rakyat mereka di Kota Dumai baru-baru ini.


Terfikir oleh saya kenapa tidak jadikan musik Rock Melayu ini sebagai wadah dan jambatan untuk mengusai masalah 'ketegangan' suatu waktu dulu (walaupun kini semakin reda!) bagi mewujudkan keharmonian rumpun Melayu dan semakin pudar terutama di kalangan warga muda kedua belah negara?

Musik diakui mempunyai kuasa mistik menjadi bahasa mesra yang mewujudkan kasih-sayang atau kebencian, terpulang kepada apa matlamatnya ianya di buat, dicipta dan dipromosikan serta didengar. Meminggirkan pengaruh musik ini akan hanya meminggirkan peminat-peminat musik rock melayu tegar yang kebanyakkannya adalah rakyat marhaen. Dan yang paling terbaik, musik Rock Melayu ini diterima hampir di seluruh kepulauan Nusantara.

Oleh itu usaha perlu dilakukan bagi mengembang dan meneruskan pembangunan genre music ini agar kembali dimartabat di tempat yang selayaknya, bukan dihina akibat dari kemiskinan dan kenipisan ilmu mereka;

1. Teruskan usaha untuk memperbanyakkan artis/band rock melayu di kalangan anak-anak muda bagi meneruskan kesinambungan musik rock ke generasi seterusnya. Kerajaan juga harus membantu kalangan ini agar mereka tidak tersisih dalam sebarang bantuan atau geran yang diperuntukkan dalam industri kreatif, hanya disebabkan kebanyakkan mereka tidak begitu faham bahasa Inggeris yang menjadi kriteria utama dalam sebarang urusan terutama di MDec dan Cradle Fund.
Album paling terbaru dari kumpulan SATIRA antara otai yang kembali dalam indsutri muzik dan merakam album baru.
2. Teruskan berusaha membuat melodi, lirik dan arrangement serta produksi yang berkualiti dengan membuat kajian terhadap lagu-lagu popular ciptaan Datuk M.Nasir, Datuk Ramlli Sarip serta rakan-rakannya yang pernah suatu ketika menguasai industri muzik tanah air dan seberang. Umum mengetahui bahawa kebanyakkan band semasa awal 90an hingga 2000 tidak memainkan sebarang alatan muzik kerana semuanya diuruskan oleh pemuzik undangan, malah kebanyakkan mereka juga tidak diberi peluang untuk merakam lagu-lagu ciptaan dan arrangement mereka sendiri. Justeru kini mereka kembali sudah tentu jika dibuat proses ini adalah baru bagi mereka walaupun mereka itu dikatakan otai. Maksud saya belajarlah untuk mengetahui semua kaedah teknologi terutama software rakaman yang banyak terdapat di pasaran dan mudah digunakan yang hanya memerlukan sebuah PC atau laptop. Dan belajar juga untuk berubah menjadi usahawan muzik. Tiada lagi syarikat rakaman dan tempoh anda dibelai oleh syarikat menerusi PR sudah berakhir. Anda harus melakukan 'almost everything' oleh anda sendiri! Cukup-cukuplah anda menjadi penyumbang kepada kekayaan tokeh-tokeh besar itu menerusi royalti yang dikutip menerusi sistem moden sekarang dan sekarang anda boleh menjadi tokeh tersebut. Tetapi harus ingat usaha ini bukan boleh berjaya dalam masa yang singkat.

Kumpulan URGENT sempat merilis 2 album di bawah penerbit M.Nasir dalam tahun 1988 dan 1989.
3. Baru-baru ini RTM telah memberi peluang kepada genre music rock ini bersiaran di stesyen TV dan seharusnya jenama ini harus dijenamakan semula. Program "ROCKERS APA KHABAR" (RAK) sekadar permulaan yang baik tetapi di kalangan pemain genre ini, anda harus memberikan satu nama khusus iaitu ROCK MELAYU sebagai satu nama yang mudah dipromosi. Buanglah perkataan rock kapak, rock lagenda, rock cintan atau apa-apa yang berkaitan dengan gelaran musik rock melayu ini. Cadangan saya sekiranya ada lagi siri RAK akan datang, seharusnya nama Rockers Melayu perlu diberi peluang untuk penjenamaan semula.

4. Lanjutan dari perkara 3 di atas, event untuk mencari band-band baru malah pencipta-pencipta lagu/lirik baru khususnya di kalangan anak-anak muda harus dipergiatkan dengan kerjasama RTM atau mana-mana agensi kerajaan khususnya Kementerian Belia. Konsep membuat event yang serentak pada satu-satu masa seperti Konsert Belia di Putrajaya dulu seharusnya dikembangkan ke seluruh negara dalam skop yang lebih kecil. Namakan event ini juga dengan menonjolkan Rock Melayu.
"Menurut kata Datuk M.Nasir, memang rock nusantara atau Rock Melayu ini unik kerana ianya tidak dapat dibuat oleh pemuzik-pemuzik rock lain walaupun dari US atau Eropah kerana jiwa rock melayu itu sebati dengan Melayu itu sendiri."

Apa yang membezakan rock Melayu dari musik rock yang lain? Ini jawapannya.




Akan disambung sekiranya ada masa, insyaaAllah!

Monday, July 7, 2014

Kisah Lagu Hari Raya Ciptaan Baru


Update artikel 2020 - Sejarah kali ini kita akan berpuasa dalam suasana #lockdown #stayHome akibat #COVID-19, #coronavirus. Bermakna juga kita tidak dapat solat Jumaat, tidak ada solat terawih, takda jamuan-jamuan dan majlis-majlis yang berkumpul. Sesuatu yang pastinya menyedihkan!

----------------------
Semalam saya berkunjung ke pasaraya The Store, Sungai Buloh untuk membeli juadah berbuka puasa untuk anak bongsu 8 tahun yang beria-ia nak berbuka dengan Pizza Hut, hmm! walaupun tekak orang tua seperti saya dah tak boleh terima tapi untuk tekak anak-anak muda zaman sekarang saya ikutkan asalkan halal dan toyyiban. 

Sepanjang berada dalam pasaraya tersebut, saya perasan yang pasaraya ini (rasanya kebanyakkan pasaraya pun!) dah mula mengkumandangkan secara keseluruhannya lagu-lagu hari raya, mungkin untuk menaikkan semangat pengunjung untuk merasai suasana hariraya dan tentunya akan berbelanja lebih. Walaupun saya rasa terlalu awal, tapi tak kisahlah, maknanya berada dalam pasaraya baru rasa nak raya! Memang insyaaAllah akan tiba jua hariraya ni, cuma sambutannya berbeza untuk orang tua dan anak-anak muda!

Umum mengetahui bahawa bila tiba saja bulan Ramadhan, yang pertama dibayangkan adalah perayaan sambutannya iaitu Hari Raya Aidilfitri. 


Kisah saya kali ini? 

Saya dapati komuniti usahawan muzik juga tidak ketinggalan mula mencipta dan mempromosi lagu-lagu sempena hari raya itu dengan harapan lagu-lagu mereka akan jadi macam lagu hari raya yang 'evergreen' dan selalu diputarkan atau dimainkan oleh stesyen-stesyen radio tempatan, pasaraya atau di mana-mana. Ada yang baru mula merakam dekat-dekat nak ramadhan tapi sebenarnya sepatutnya untuk membuat rakaman lagu single atau album hariraya seharusnya dibuat awal sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum Ramadhan. Banyak kerja pre-produksi sebenarnya dari memilih lagu, penyanyi, rakaman dan akhirnya buat CD dan video muzik.

Usahawan Pemilik Rakaman Loonaq (Content Partner) saudara Boy Razak ada menghantar lagu-lagu Hari Raya milik dan diletak di  http://www.loonaq.my/kay/index.php album nyanyian artis baru iaitu Kay Ebrahim. Rakan usahawan Loonaq di utara Malaysia , Signature Team juga dengarnya sedang merakam (rasanya dah selesai!) rakaman lagu hariraya yang dinyanyikan oleh barisan artis-artis Signature. Ramai lagi sebenarnya tak tertulis pun senarainya tapi apa sebenarnya yang saya nak sentuh berkenaan lagu hariraya ini?


Album Hari Raya terbitan Signature Team yang beroperasi di Utara Malaysia yang juga merupakan rakan strategik Loonaq Records di utara Malaysia.

Buat Kajian Lagu Hari Raya

Rasanya elok pada usahawan-usahawan muzik buat kajian dan 'research' yang terperinci sebelum kita 'invest' buat lagu-lagu raya ini sebabnya:

1. Pasaran kita sudah banyak melambak lagu-lagu hari raya;

2. Pasaran ini bermusim yang kebanyakkan peminat hanya dengar sewaktu minggu-minggu akhir berakhir Ramadhan dan seminggu dua hariraya;

3. Stesyen-stesyen radio, pasaraya dan lain-lain tempat umum dan awam kini hanya memutarkan lagu-lagu hari raya 'evergreen' kerana seperti yang telah saya tulis dalam blog ini terdahulu bahawa stesyen radio masakini bukan tempat untuk mempromosi lagu-lagu baru, mereka hanya putarkan yang sudah popular sebab untuk dapat trafik populariti. Begitu juga dengan kedai, pasaraya dan lain-lain yang menggunakan muzik untuk menarik dan menghibur serta menceriakan pelanggan-pelanggan mereka, pastinya mereka memilih lagu-lagu;

4. Jadi bersedialah untuk mempromosi lagu-lagu hariraya ini dalam jangkamasa yang lama iaitu sekurang-kurangnya 5 tahun kerana dengan mempromosi bertahun-tahun semasa musim hariraya, baru lagu kita jadi 'evergreen';


Tips untuk pasaran lagu Hariraya

1. Untuk pemilik rakaman atau usahawan rakaman, gunalah artis lama yang sudah popular kerana populariti itu dengan sendiri dapat mempromosi lagu tersebut dengan sedikit mudah. Walaupun tidak gerenti sebenarnya, tapi inilah yang dibuat oleh syarikat-syarikat rakaman dulu seperti EMI, Warner, Sony dan lain-lain;

2. Untuk artis baru, anda seharusnya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk anda dikenali semasa musim hariraya ini. Musimnya singkat dan dengan nama pun artis baru, bagaimana anda nak mencelah dalam ratusan atau ribuan lagu-lagu hariraya yang sedia ada? yang ada berpuluh-puluh yang macam dah jadi lagu wajib hariraya seperti lagu P.Ramlee iaitu Dendang Perantau, Saloma dan lain-lain!

3. Akhirnya marilah kita sama-sama minta dan berjuang memohon kepada radio-radio dan TV milik kerajaan agar dapat menyiarkan lagu-lagu hariraya ini secara bersegmen, lagu-lagu 'evergreen', lagu-lagu moden pop dan lagu-lagu baru...saya tak harapkan radio TV swasta atas memahami faktor komersial sudah pasti kita tidak mahu mereka tutup kedai sebab takda iklan masuk kerana asyik siarkan lagu-lagu baru!

Semasa di FGM 20 tahun lebih dulu, ada juga terlibat dalam pemasaran album ini:



Senyum-senyum sendiri lagu yang popular sehingga kini dari Gelombang Biru (Kombo TLDM) adalah "SALAM KEKASIH DI HARI RAYA" kalau nak dengar cubalah google tajuk ni sebab kami pun dah takda master album ini.


Lagu-lagu Hari Raya Yang Terpopular di Malaysia!


Antara lagu-lagu hari raya yang telah jadi 'evergreen' pada masyarakat Malaysia dan nusantara adalah:

1. Dendang Perantau [Tan Sri P Ramlee]
2. Selamat Hari Raya [Puan Sri Saloma]
3. Gurindam Di Pagi Raya [Jay Jay]
4. Hari Raya Bahagia [Jay Jay]
5. Suasana Riang Di Hari Raya [Junainah M Amin]
6. Satu Hari Di Hari Raya [Datuk M Nasir]
7. Ku Pohon Restu Ayah Dan Bonda [Mamat Exist].
8. Dari Jauh Ku Pohon Maaf [Dato' Sudirman]
9. Bila Takbir Bergema [Datin Rafeah Buang]

10. Inang Aidilfitri [Dato' Sudirman & Zaleha Hamid]
11. Selamat Hari Raya [Rahimah Rahim]
12. Pulang Di Hari Raya [NoorKumalasari]
13. Gembira Bersama Di Hari Raya [Othman Hamzah]
14. Puasa Dan Raya [Senario]
15. Hari Raya Hari Bahagia [Ramlah Ram]
16. Selamat Hari Lebaran [Ramlah Ram]
17. Selamat Hari Raya [Ramlah Ram]
18. Di Pagi Aidilfitri [Rosemaria]
19. Aidilfitri [Sanisah Huri]
20. Bersabarlah Sayang [Sanisah Huri]
21. Bisikan Hati Di Pagi Aidilfitri [Hail Amir & Datuk Sharifah Aini]
22. Seloka Hari Raya [Hail Amir & Uji Rashid]
23. Selamat Hari Raya [Datuk Sharifah Aini]
24. Suara Takbir [Datin Seri Siti Nurhaliza]
25. Meriah Suasana Di Hari Raya [Datin Seri Siti Nurhaliza]
26. Halaman Asmara [Awie & Ziana Zain]
27. Selamat Hari Raya [Dato' Sudirman]
28. Doa Di hari Mulia [Uji Rashid]
29. Dengan Bismillah [Uji Rashid]
30. Sepasang Kurung Biru [Khairil Johari Johar]
31. Di Hari Kemenangan Ini [Datuk M Daud Kilau]
32. Hari raya Tetap Tiba [Sweet September]
33. Ewa Ewa Hari Raya [Malek Ridzuan]

34. Balik Kampung [Dato' Sudirman]
35. Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz)
36. Musafir Di Aidilfiti (S. Jibeng)
37. Salam Kekasih Di Hari Raya (Gelombang Biru)

lagi? banyak, sila tambah...




Wednesday, June 25, 2014

Peserta Ujibakat AF bergaduh?


Saya terbaca satu posting di group facebook tentang cerita ada peserta ujibakat bergaduh...
Hakikat yang mereka tak pernah tahu atau tak pernah mahu ambil tahu adalah:-

1. Program ini untuk mendapatkan "rating" untuk iklan

Program ini tidak melahirkan ramai artis rakaman, tetapi berjaya mempromosi bakat-bakat peserta bukan saja bakat menyanyi tetapi bakat membuat cerita-cerita agar jadi sensasi dan berjaya tarik ramai peminat TV khasnya rancangan bakat-bakat yang macam ini.

2. Prestasi penghibur diukur dengan berapa banyak album yang dihasilkan

Ramai lagi anak-anak muda kita ingin ambil jalan mudah dan singkat untuk berjaya dengan menyertai program ini yang akan mengeksploitasi bukan saja bakat nyanyi tapi bakat sebagai penghibur persembahan (berbeza dengan artis rakaman), tetapi akhirnya mereka lupa bahawa prestasi peribadi untuk menjadi artis adalah dengan membuat rakaman lagu atau album baru dengan lagu-lagu baru (bukan lagu cover). 

3. Ambil tahu tentang perniagaan muzik untuk terus berjaya dan mengekalkan kejayaan

Yang menyedihkan, ramai bakat-bakat muda yang datang ini tidak tahu perniagaan muzik masakini, dengan pemasaran digital serta streaming, dan juga ramai lagi yang tidak tahu bahawa untuk membuat rakaman kini adalah lebih amat mudah berbanding dulu, tak perlu guna studio rakaman yang canggih-manggih tetapi boleh dirakam menerusi laptop/PC dengan menggunakan software-software rakaman digital yang banyak di pasaran.

4. Jadilah usahawan muzik, bukan artis rakaman

Secara jujurnya saya tidak kata program ini mengarut, tetapi susulan program ini untuk membangunkan bakat-bakat ini tidak diperdedahkan dengan laluan yang betul dan teliti terutamanya sebagai usahawan muzik, menyebabkan mereka akhirnya tersangkut dan membazirkan masa selama 2-3 tahun hanya untuk bersama penganjur untuk dapat menyertai konsert dan persembahan. Mentaliti untuk mengikut arus perubahan perniagaan muzik termasuk perubahan cara muzik diniagakan serta cara para peminat muzik mendengar muzik masa sekarang juga tidak dititikberatkan yang akhirnya pendedahan promosi untuk mereka ini hanya lebih mendatangkan keuntungan kepada pihak penganjur sebaliknya bakat-bakat ini terbiar tanpa arah, dan yang menyedihkan mereka juga berada ditakuk lama industri dengan menjaja diri untuk mencari syarikat rakaman...hakikatnya yang pernah saya tulis dalam blog ini...siapa yang perlukan syarikat rakaman?

Akhir kata dari saya, tahniah kepada yang berjaya jadi peserta dan yang tidak berjaya ketahuilah ada ramai lagi artis yang buat album single, mini atau album penuh berada di luar sana. Percaya mesti ada hikmat kenapa anda gagal dan harap-harap anda tidak pula menjadi manusia lupa diri apabila mendapat apa-apa peluang dalam industri muzik ini.

Salima Habibi adalah peserta AF musim kelima. Dapatkan album beliau di iTunes

Tuesday, June 24, 2014

HIBURAN HALAL: Perlukan Promosi

Halal atau Haram?

Isu yang ‘trending’ suatu ketika dulu (sekarang dah jadi suam-suam kuku!) di mana-mana social media termasuk di kalangan bloggers adalah tentang cerita halal coklat Cadbury…sekejap tak halal…sekejap boleh jadi halal.  Baiklah, saya pun nak ‘join’ juga isu hangat ini walaupun sudah lambat, tapi bukan untuk mengesahkan sijil halal atau tak halal pada Cadbury tapi lebih kepada sikap masyarakat kita menafsirkan peri pentingnya perkara HALAL dalam kehidupan.

Tidak dapat dinafikan, kesan dari isu ini kepada sesebuah entity pemilikan perniagaan di Malaysia, juga di Indonesia akan terjejas teruk dari segi pemasarannya, kecuali kepada produk-produk yang terang-terang bukan halal atau memang bukan untuk pasaran orang Islam. 

Cadbury

Foto dari Harian Metro
Bagi yang memang sensitif dan memang sentiasa berusaha untuk menjaga pemakanan mereka, isu Cadbury ini sudah tentu akan membuatkan mereka menjauhkan terus dari jenama ini, mungkin untuk selama-lamanya, walaupun ada pihak-pihak yang berkuasa atau menjadi pemantau kepada penentuan halal atau tidak sesuatu barangan itu mereka sudah tidak peduli lagi. Ragu-ragu itu subhah dan amalan para sahabat Nabi dan wali sejak dari dulu memang menolak bukan saja yang haram malah yang duduk di tengah antara halal dan haram itulah subhah yang wajib ditolak. Memang ada hadis qudsi mengenai perkara ini dan diharap pembaca yang masih tidak mengetahuinya silalah cari-cari di google search tentang hadis ini! Atau tanya saja para-para ustaz yang ramai sekarang!

Jenama

Sumber: http://www.eat-halal.com/
Soalnya mereka yang berniaga ini sudah tentu tahu pasaran mereka dan harapnya selepas ini mereka-mereka ini mengambil tahu tentang semua asal-usul ramuan-ramuan dari sekecil-kecil perisa atau bahan agar mengelak dari perkara ini menjadi isu seperti hal Cadbury pada masa akan datang.  Banyak masa, tenaga dan wang yang dilabur untuk menjadikan sesebuah jenama itu sehingga peringkat sekarang dan sudah tentu untuk mengembalikan kepercayaan kepada jenama ini akan menelan belanja yang lebih besar.

Namun untuk sekadar muhasabah diri saya dan semua pembaca yang bersetuju, kita juga harus mengambil iktibar kenapa kita selalu ‘double-standard’ dalam perkara halal-haram ini. Umpamanya rokok yang masih lagi ramai menghisapnya walaupun sudah difatwakan ianya haram.  Masih ramai lagi termasuk yang bergelar ustaz masih merokok!  Riba juga haram tetapi kita mengamalkan system riba dalam urusan kehidupan kita, untuk membeli rumah, kenderaan dan lain-lain. Tidak nampak usaha-usaha yang gigih dari sesebuah organisasi atau komuniti Islam yang bergerak menangani perkara haram ini secara konsisten malah tidak pula “jijik” untuk mengamalkannya!

Muzik

Kumpulan pop rock OZON dari Pendang, Kedah
Apa pula kaitan rencana ini dengan muzik? Sebuah blog berkenaan perniagaan muzik bercerita tentang halal-haram? Apa kena-mengena pula?

Sudah tentu ada kena-mengena. Muzik adalah  terpenting dalam setiap medium pengisian fitrah kreatif seperti filem, video, animasi dan menjadi tarikan populariti bagi mengisi sesuatu majlis atau pengacaraan samada acara hiburan atau tidak.  Kita tidak pernah dengar lagi ada yang berusaha untuk menjadikan sumber hiburan untuk umat Islam di kalangan kita bersumberkan hiburan halal?

Ironinya kita gelarkan hiburan seperti nasyid, zikir dan qasidah sebagai  hiburan alternatif? Dan bukannya hiburan halal? Ataupun hiburan yang mengikut adab? Ada yang lebih ekstrim terus ‘mengharamkan’ muzik! Realistikkah tindakan itu sebab kita hidup di zaman yang semuanya memerlukan “screen monitor” termasuk computer, tablet, smartphone dan pelbagai jenis apps?

Hiburan berasaskan sekular

Dan kita terus menerima hiburan berasaskan sekular sehingga ke suatu tahap ‘terpaksa’ menerimanya sebagaimana kita ‘terpaksa’ menerima system riba dalam setiap urusan kewangan kita.

Isu cetak-rompak juga ada kaitannya dengan halal-haram ini. Ada kalangan kita yang masih tidak faham atau sengaja dan buat-buat tidak faham bahawa menaikturun lagu-lagu dan mengedarkan lagu-lagu adalah dikira sebagai pencuri!
Hiburan membentuk budaya dan budaya membentuk peradaban. Peradaban pula membentuk tamadun. Tamadun apa yang kita hendak corakkan kepada generasi ummah selepas ini?

Amat sukar untuk pengeluar-pengeluar kandungan hiburan berlandaskan syarak bersaing dengan kandungan hiburan sekular. Ditambah dengan umat Islam yang juga telah ‘larut’ dalam siaran bertalu-talu samada memang disukai ataupun di ‘strategikan’ untuk memikat atau mengelirukan umat Islam, kita perlukan dana promosi yang besar untuk mendekatkan produk hiburan Islam bukan saja kepada umat Islam tetapi juga seluru dunia. 

Umat Islam memang amat perlukan hiburan yang berlandas atau mengikut syarak. Kita telah lama membiarkan urusan hiburan halal ini 'di bawah karpet' seolah-olah tidak mahu kita tafsir secara terbuka. Kita amat perlukan hiburan halal dianggap tidak kurang pentingnya dengan produk halal makanan dan pakaian. Kita perlukan program pemasaran yang besar dan komited. Adakah MATRADE boleh menerajunya?

Sumber: http://www.mihas.com.my/#sthash.JJM5v7n7.dpbs

Saturday, June 14, 2014

Bisnes Muzik dah berubah!


Bisnes muzik berkembang tetapi dengan perubahan dari segi cara bisnes ini diniagakan. Internet dan media sosial memang menjadi penyumbang terbesar dalam perubahan ini tetapi perubahan atau reformasi adalah perkara biasa dalam kehidupan.

Soalnya siapakah yang terkesan dengan perubahan ini? Siapa pula yang menjadi lebih kaya kesan dari perubahan ini? Adakah perubahan ini membawa kepada kebaikan atau keburukan?

Perkara ini tidak diajarkan di mana2 kelas atau kuliah dalam sekolah muzik, kolej dan university. Anda juga tidak akan mendapat maklumat yang tepat jika bertanya kepada individu yang sedang bekerja di mana2 syarikat korporat yang kini menaungi banyak syarikat2 rakaman.


Anda harus berubah!

Yang pentingnya anda harus juga berubah. Sebab kalau tidak, anda juga akan pupus...dalam industrilah!

Friday, May 23, 2014

PROMOSI ARTIS: Tidak ada ‘fair & square deal’?


Anda telah memasuki bidang keusahawanan dengan memilih muzik sebagai teras perniagaan anda, samada sepenuh masa atau separuh masa. Bila platform pemasaran digital sudah tersedia dan produk-produk anda sudah memasuki kedai-kedai digital seluruh dunia, maka tugas seterusnya adalah untuk mempromosi. 

Konsep kedai digital adalah sama dengan kedai fizikal, mereka akan letak produk-produk anda di suatu tempat dan menanti pelanggan mencari. Andai pelanggan tidak mencari, maka sejuk-bekulah jadinya produk-produk anda.

Platform Media Sosial



Di sinilah peranan platform media social untuk mempromosikan produk-produk anda. Dalam hal ini, andalah produk itu! Anda boleh menggunakan sepenuhnya platform social media ini untuk memperkenalkan anda atau produk anda. Anda harus mempromosi, mewar-warkan tentang produk anda dan sekaligus mengadakan ‘fans engagement’ dalam setiap komunikasi social media anda.

"Caranya telah disediakan oleh Loonaq, tetapi ianya memerlukan anda untuk bermain dan mengambil peluang secara ‘real’ walaupun dalam alam maya. Posting hendaklah dibuat setiap hari secara berkala, iaitu kalau anda selesa setiap pagi jam 7, maka hendaklah anda buat posting setiap hari pada jam 7 pagi. Atau 9 malam atau 1 pagi.  Pengisian posting pula perlulah diselang-seli dengan posting pengucapan selamat atau salam, posting foto (selfie pun boleh asal tak berlebih-lebih) dan rakaman video pendek (jangan terlalu panjang, dalam hal ini rekomended adalah Instragram)..."

Selepas itu barulah anda mencari peluang untuk menyertai event, samada berbayar ataupun percuma untuk promosi. Terpulang kepada anda menentukan tetapi disarankan untuk 3 bulan pertama, wajar anda memberikan tempoh ini untuk menyertai event promosi percuma. Selepas itu terpulanglah pada prestasi anda di khalayak dan presatasi ini boleh diukur menerusi data-data viewers, likers, followers dan subscribers anda di mana-mana platform social media anda. (Diandaikan semasa proses event ini anda mesti melakukan aktiviti promosi media social secara tetap). Sekiranya masih tidak memberansangkan, wajar juga anda berikan masa yang lebih lama lagi. Tapi kalau anda berhenti maka berhentilah juga aktiviti anda.


Sukar mencari event?

Nah! di sinilah intro rencana ini ingin membawa anda. Anda harus bergaul dengan pihak-pihak lain yang terlibat sebagai ‘supporting industry’ dalam bidang muzik ini. Yang jelas adalah Event Organizer, Promoter, DJ event atau DJ radio samada radio frekuensi atau online, “event venue” atau pemilik pentas hiburan seperti Shopping malls atau shopping complex, pusat-pusat karaoke, restoran.


"Jadilah KRONI..."

Dalam lain perkataan yang mudah, anda harus ‘join the team’ dan menjadi kroni pihak-pihak ini yang mempunyai hubungan yang rapat dengan DJ radio-radio korporat, dengan Menteri atau orang-orang rapat menteri, dengan pengarah-pengarah jabatan yang memegang kuasa memilih artis-artis mana yang boleh diberikan peluang membuat persembahan, atau menjadi salah satu artis dalam event besar yang kosnya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan (tak kiralah kerajaan mana!).

Hakikatnya resepi ini menjalar perkasa di semua bidang ‘talent industry’ samada dalam sector persembahan muzik ataupun dalam masjid/surau. Anda sudah biasa kadang-kadang lihat sesebuah masjid akan menetapkan hampir setiap bulan penceramah-penceramah yang sama untuk pembelajaran kariahnya!

Mencipta Rangkaian



Begitulah reality hidup seorang usahawan, anda harus bergaul juga samada secara alam maya ataupun reality. Asas penting untuk maju ke hadapan adalah anda harus mencipta rangkaian yang bukan hanya berada di hadapan anda, malah kiri, kanan belakang, atas, bawah dan secara binary system. Sukar untuk melaksanakan system meritokrasi, kerana system kroni lebih baik untuk diamalkan. Wallahuaalam!

Cuba perhatikan siapa-siapa artis yang berjaya membuat persembahan di Festival Belia Putrajaya 2014 ini? Rasanya ada banyak yang anda masih tidak kenal? Jom ramai-ramai ke Festival Belia Putrajaya 2014. Kita beri link untuk promosi http://festivalbeliaputrajaya.com/#header

Tahniah kepada artis-artis baru dan artis-artis popular social media yang akan buat persembahan esok. Semoga berjaya!

 



Saturday, May 3, 2014

"Renovation" of Loonaq's Weblog


InsyaaAllah saya dan dibantu oleh team Loonaq™ - Social MusicHub akan membuat pencucian dan tambah baik buat blog ini bermula minggu hadapan. Antara kesilapan saya adalah mencampur-adukkan antara Loonaq™ dan Loonaq Records di mana sebenarnya Loonaq™ adalah Pelantar Pemasaran Digital (Digital Distribution Platform) utk semua Content Partners (CP) yang meletak atau melesenkan produk-produk mereka sementara Loonaq Records adalah sifatnya sebagai salah satu CP yang disebut itu.

Untuk mengetahui senarai CP yang bergabung dengan Loonaq™ sila klik ke link ini http://www.loonaq.my/ourcontentpartners.php

Terima kasih.

Friday, December 6, 2013

Smile Band - Album terbaru dari Loonaq Records


Dengarkan lagu-lagu terbaru dari kumpulan anak2 muda dari kota Jakarta Timor yg mengasyikkan bakal ngetop untuk tahun 2014 ini. Kumpulan ini dianggotai oleh AYES (vocal), Moey (guitar), IBENK (bass) dan DICKY (drum) dan sering mendapat undangan bareng dan manggung di mall, karaoke center dan pub di sekitar kota Jakarta sejak tahun 2013 lagi. 

Loonaq Records Indonesia

Album ini akan dilancarkan secara rasmi semasa pelancaran CV Loonaq Records Indonesia tidak lama lagi, insyaaAllah!