Wednesday, June 25, 2014

Peserta Ujibakat AF bergaduh?


Saya terbaca satu posting di group facebook tentang cerita ada peserta ujibakat bergaduh...
Hakikat yang mereka tak pernah tahu atau tak pernah mahu ambil tahu adalah:-

1. Program ini untuk mendapatkan "rating" untuk iklan

Program ini tidak melahirkan ramai artis rakaman, tetapi berjaya mempromosi bakat-bakat peserta bukan saja bakat menyanyi tetapi bakat membuat cerita-cerita agar jadi sensasi dan berjaya tarik ramai peminat TV khasnya rancangan bakat-bakat yang macam ini.

2. Prestasi penghibur diukur dengan berapa banyak album yang dihasilkan

Ramai lagi anak-anak muda kita ingin ambil jalan mudah dan singkat untuk berjaya dengan menyertai program ini yang akan mengeksploitasi bukan saja bakat nyanyi tapi bakat sebagai penghibur persembahan (berbeza dengan artis rakaman), tetapi akhirnya mereka lupa bahawa prestasi peribadi untuk menjadi artis adalah dengan membuat rakaman lagu atau album baru dengan lagu-lagu baru (bukan lagu cover). 

3. Ambil tahu tentang perniagaan muzik untuk terus berjaya dan mengekalkan kejayaan

Yang menyedihkan, ramai bakat-bakat muda yang datang ini tidak tahu perniagaan muzik masakini, dengan pemasaran digital serta streaming, dan juga ramai lagi yang tidak tahu bahawa untuk membuat rakaman kini adalah lebih amat mudah berbanding dulu, tak perlu guna studio rakaman yang canggih-manggih tetapi boleh dirakam menerusi laptop/PC dengan menggunakan software-software rakaman digital yang banyak di pasaran.

4. Jadilah usahawan muzik, bukan artis rakaman

Secara jujurnya saya tidak kata program ini mengarut, tetapi susulan program ini untuk membangunkan bakat-bakat ini tidak diperdedahkan dengan laluan yang betul dan teliti terutamanya sebagai usahawan muzik, menyebabkan mereka akhirnya tersangkut dan membazirkan masa selama 2-3 tahun hanya untuk bersama penganjur untuk dapat menyertai konsert dan persembahan. Mentaliti untuk mengikut arus perubahan perniagaan muzik termasuk perubahan cara muzik diniagakan serta cara para peminat muzik mendengar muzik masa sekarang juga tidak dititikberatkan yang akhirnya pendedahan promosi untuk mereka ini hanya lebih mendatangkan keuntungan kepada pihak penganjur sebaliknya bakat-bakat ini terbiar tanpa arah, dan yang menyedihkan mereka juga berada ditakuk lama industri dengan menjaja diri untuk mencari syarikat rakaman...hakikatnya yang pernah saya tulis dalam blog ini...siapa yang perlukan syarikat rakaman?

Akhir kata dari saya, tahniah kepada yang berjaya jadi peserta dan yang tidak berjaya ketahuilah ada ramai lagi artis yang buat album single, mini atau album penuh berada di luar sana. Percaya mesti ada hikmat kenapa anda gagal dan harap-harap anda tidak pula menjadi manusia lupa diri apabila mendapat apa-apa peluang dalam industri muzik ini.

Salima Habibi adalah peserta AF musim kelima. Dapatkan album beliau di iTunes