Friday, December 18, 2020

ANAM2020 - Mampukan Nasyid Kembali Bangkit?


Apabila saya mendapat teks siaran media ANAM2020 baru-baru ini, hajat mahu dimuatnaik ke blog ini, namun setelah melihat beberapa media telahpun mendahului, saya berpendapat lebih elok saya membuat artikel dari sudut yang berbeza.

Mungkin disebabkan inilah julung kalinya, Anugerah Nasyid Malaysia atau ringkasnya ANAM 2020 bakal dianjurkan oleh Majlis Usahawan Nasyid Malaysia atau MUNSYID Malaysia dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Radio Televisyen Malaysia (RTM), menyebabkan perlunya artikel ini perlu ditulis.

Jalan Berliku

Terlebih dahulu saya bagi pihak IslamicTunes ingin mengucapkan syabas kepada semua penggerak dan Ahli Jawatankuasa MUNSYID yang diketuai oleh Sdr. Razin selaku Presiden. Menurut beliau kepada saya baru-baru, ini walaupun lega, namun usaha ini amatlah mencabar dan berliku-liku.

Tahniah juga perlu diucapkan kepada YB Dato' Saifuddin Abdullah selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mempunyai iltizam tinggi bagi merealisasikan penganjuran ini termasuk menyediakan venue, peralatan dan bajet yang bernilai RM1 juta ini. Tanpa keinginan dan visi serta ketegasan mereka, pasti agak sukar mengusung matlamat memartabatkan nasyid walaupun kita dianggap sebagai pelopor nasyid kontemporari yang diakui di peringkat global!

Ternyata YB Dato' Saifuddin yang menzahirkan apa yang dibincangkan bersama antara beliau dan kami sebagai penggiat dan pelabur industri muzik Malaysia (RIM dan IRAMA) sewaktu baru sahaja memegang jawatan Menteri, khususnya bila saya membawa usul tentang perkembangan industri nasyid (jika boleh dikatakan industri), seni budaya dan teknologi digital bagi konten Islamik. Saya amat hairan bilamana suatu ketika dahulu tiada kementerian atau agensi yang dapat melihat potensi menjadikan Malaysia sebagai Hub Hiburan Islam Sedunia ketika beberapa kumpulan nasyid kita telah dapat menjajah industri muzik Malaysia sehingga membawa nasyid ke peringkat global. Data-data jualan tahun-tahun 1996 - 2005 membuktikan jualan nasyid Raihan sehingga kini masih tidak dapat diatasi oleh mana-mana artis popular tanahair, apalagi membawa produk karya mereka ke peringkat global dalam konteks artis atau penasyid itu berada di dalam negara.

Citra Kepimpinan Kerajaan Baru

Justeru itu saya amat bersetuju dengan citra kepimpinan kerajaan baru di samping mempunyai Menteri-menteri yang mempunyai visi serta begitu mengambil berat tentang nasib penggiat-penggiat nasyid tempatan yang sebahagian besarnya amat saya kenali. Saya juga amat terharu kerana kerajaan kini telah mengambil keputusan untuk memberi bantuan kepada salah satu cabang pembangunan seni budaya Islam secara keterlibatan yang lebih serius.

Namun persoalannya berbaloikah peruntukan yang disediakan jutaan ringgit oleh Kerajaan kepada sebuah penganjuran hanya untuk memberi penganugerahan kepada penggiat nasyid yang semakin lesu tidak bermaya? Apakah tindakan memulakan dengan pengacaraan anugerah nasyid ini yang pastinya dihiasi dengan sambutan gilang-gemilang (sebab ada bajet besar dari kerajaan, yang tentunya dari duit rakyat) itu satu keputusan yang wajar atau tepat? Adakah ianya merupakan jawapan kepada masalah kelesuan nasyid ketika ini lalu dengan acara ini dapat mengangkat kembali industri nasyid (sekali lagi, jika layak dikatakan sebagai industri!)

Adakah kajian secara menyeluruh telah dibuat seperti mendapatkan statistik data seperti bilangan penggiat sebenar dan saiz pasaran masakini telah diperolehi bagi menjustifikasikan pemberian bajet jutaan ringgit ini (tidak termasuk yang telah diberikan kepada sebuah label record milik kumpulan nasyid dan seminar 'This is Nasyid' juga dari salah seorang penggiat dari kumpulan nasyid yg terkenal), yang secara langsung menjadikan seolah bulan Desember ini adalah Bulan Nasyid Malaysia? (saya quote dari kata-kata Dr. Fitri Haris semasa sidang media 'This is Nasyid' baru-baru ini!)

Adakah Nasyid itu Industri?Adakah saiz 300 kalangan penggiat kalangan MUNSYID layak dikelasifikan sebagai industri? Atau apakah hanya dengan bertemu dengan beberapa kelompok 'elit' yang bertaraf seleberiti sudah memadai menjustifikasikan kelayakan penganjuran sebuah acara anugerah bertaraf nasional?

Kedua Menteri menyebut tentang impak positif industri nasyid Malaysia kepada ekonomi. Saya dari awal lagi mengatakan memang sudah sewajarnya nasyid diberikan keutamaan sebagai produk eksport seni Malaysia ke dunia kerana hakikatnya tiada lagi genre muzik atau lagu buatan anak Malaysia yang berjaya melangkau serata dunia melainkan genre nasyid.

Namun itu semua telah berlalu. Penasyid-penasyid dulu walaupun pernah berada di ranking yang teratas dari segi jualan dan pendapatan baik dari rakaman atau persembahan kini hakikatnya tidak lagi teguh berada di dalam industri muzik secara amnya.

Negara telah terlepas untuk mengambil peluang tersebut oleh Kerajaan yang lalu. Kini ianya sudah tidak seperti dulu dan perniagaan muzik dan konten kreatif sudah berubah 360°, malah cara konsumer mendengar dan membeli juga telah berubah disebabkan teknologi digital dan streaming yang menjadi semakin trending. 

Penasyid Jangan 'Tamak'

Sebenarnya kita harus bermula semula, membina semula dari asas. Samada kerajaan sedar atau tidak, sebenarnya nasyid sudah tidak lagi menjadi hanya satu-satunya media bagi hiburan dalam Islam bagi berhibur. Penasyid tidak perlu menjadi terlalu 'tamak' untuk menguasai dan menjuarai medium hiburan Islam!

Data-data emosi tidak meyakinkan pihak pelabur membuat tajaan bilamana MUNSYID gagal berevolusi atau hilang jati diri dalam mengekalkan seni nasyid itu sendiri. Malah ada penasyid sendiri yang keliru seperti mana kata Dr. Fitri Haris sendiri! (saya akan membuat review yang berasingan berkenaan perkara ini, insyaaAllah diberikan kesihatan yang baik untuk menulis!)

Sebaliknya banyak acara-acara yang bersifat 'anti-establishment' dan konservatif seperti acara sambutan Haul Akbar, Hol perdana, Majlis zikir, Mawlid dan lain-lain mula mendapat perhatian. Acara yang menggabungkan elemen pembelajaran tauhid, tasawwuf, sufi dan kumpulan tarekat dengan hiburan seni budaya mula bertambah meriah. Malah ramai pelawat dan pelancong datang ke negara ini untuk bersama-sama meraikannya. Saya pernah beritahu pegawai Islamic Tourism Centre (ITC) beberapa tahun dulu berkenaan cadangan IslamicTunes Festival namun tiada apa-apa yang berlaku. 

Ini tidak termasuk munculnya ramai keturunan Pak Habib dari salasilah Ahlulbait telah keluar bercampur dengan komuniti terbuka. Acara-acara ini dibanjiri oleh peminat-peminat ilmu dan seni hiburan Islam yang terdiri bukan saja dari dalam negara, malah dari luarnegara.

Konten Islamik Bukanlah Semata-mata Nasyid

Seperti yang pernah saya jelaskan, konten Islamik bukanlah semata-mata nasyid, malah akar-umbinya datang dari pelbagai kumpulan dan jemaah yang telah lama ada sebelum wujudnya nasyid atau nasyid kontemporari. Kebanyakkan konten nasyid adalah untuk pendidikan termasuklah doa, munajat, dan selawat serta Mawlid. Ianya menjadi amalan dan salah satu kaedah pembelajaran di kebanyakkan pondok, sekolah agama, kumpulan tarekat dan Sufi. Sumber-sumber konten dari zaman berzaman ini diangkat atau disadur oleh penasyid menjadi bahan mereka untuk dilagukan sehinggakan pada satu ketika JAKIM cepat bertindak untuk mengurangkan keinginan penasyid memuzikkan ayat-ayat Al Quran secara berleluasa bagi menghormati qalam Allah itu.

Saya belum cerita lagi tentang bagaimana penasyid membiarkan hak konten-konten ini dijarah dengan rakus oleh pihak-pihak pelabur non-muslim yang membiayai dan membantu penasyid-penasyid ini. Tiada usaha langsung untuk membuat dokumentasi repositori konten dalam perniagaan hakcipta, trademark dan pattern yang mempunyai nilai keuntungan yang tinggi pada masa ini. Kebanyakannya sudah jatuh ke tangan pedagang non-muslim! 

Sekadar Meraih Kembali Populariti?

Jadi di manakah penasyid Malaysia di kalangan kumpulan dan institusi ini? Mana visi yang lebih sistematik ke arah pembangunan semula nasyid atau konten-konten hiburan yang sesuai untuk ummah? Atau sekadar untuk meraih kembali populariti dan masing-masing berusaha untuk meningkatkan darjat diri? 

Hakikatnya perlu kita fahami bahawa nasyid ini menjadi popular dan bertukar menjadi industri suatu ketika dulu apabila ianya mendapat suntikan modal dan sokongan dari pelabur bukan Islam dan syarikat rakaman antarabangsa. Perjuangan untuk agama semakin terhakis apabila sebahagian besar kumpulan-kumpulan nasyid ini yang asalnya dari bekas kumpulan AlArqam dan institusi pusat pengajian tinggi telah ditransform menjadi artis dan seleberiti dari, dan konsep Daei Islamik ini hanyalah hiasan kosmetik. 

Apa yang berlaku, pelabur-pelabur bukan Islamlah yang banyak mengambil peluang seperti Warner Music, Universal, Sony, EMI (ketika dulu) membuat promosi dan pemasaran sehinggakan setiap bulan terdapat banyak album-album baru dikeluarkan dan bercambahlah kumpulan atau artis/munsyid baru dalam industri nasyid (kalaulah boleh dikatakan industri nasyid!). Kemunculan selepas itu beberapa buah syarikat produksi Muslim seperti Hijaz Record, InTeam Records, UNIC, Saujana dan beberapa lagi seumpama cendawan namun akhirnya kini tinggal beberapa sahaja yang masih bertahan. Malah ada yang telah menjual semua aset konten mereka kepada syarikat antarabangsa bagi kelangsungan hidup.

Justeru itu, agak mengejutkan bilamana Menteri Agama menyifatkan bahawa ANAM ini akan memberi impak yang besar. Pastinya ramai yang akan marah namun hakikatnya selama manakah semua ini akan berterusan yang tidak membawa kesan besar ke atas syiar seni demi dakwah. Sewajarnya Datuk Dr. Zulkifli menerusi JAKIM dan Baitulmal serta agensi-agensi di bawahnya digerakkan dengan lebih berkesan secara lebih sistematik dan bersifat pembangunan jangkapanjang, namun bukan hanya terhadap nasyid sebaliknya kepada semua bentuk seni budaya Islam.

Setakat ini, tiada platform, tidak ada bantuan yang jelas bagi membuat prasarana asas khususnya bagi memercikkan ekonomi penasyid, pelabur dan penggiat serta pemain industri, malah slot rancangan nasyid di RTM juga bolehlah dikatakan 'sekejap ada, sekejap tak ada'! Dan memang kini telah sah hilang lenyap! Saya tahu JAKIM ada slot yang banyak dari RTM namun kebanyakkan diisi untuk konten-konten ceramah perdana, solat Jumaat dan lain-lain.

Datuk Dr. Zulkifli juga boleh mengusahakan agar pemegang logo #Halal JAKIM dapat menyumbang semula hasil keuntungan syarikat terutama syarikat non-Muslim kepada pembangunan seni dan budaya Islam. CSR ini harus kembali kepada Muslim bagi menyederhanakan pemikiran ekstrimis Muslim yang merasakan ekonomi negara telah dieksploitasi oleh satu-satu kaum terutamanya dalam bidang pemasaran makanan umat Islam amnya dan ekonomi Islam khasnya. Usaha ini akan lebih memberi impak kepada pembangunan seni dan budaya Islam termasuklah nasyid dan lain-lain bagi terus mendapat tajaan untuk kelangsungan sesebuah projek 'social enterprise' ataupun mana-mana usahawan seni budaya pemula (startup).

Lebih tepat lagi Dr Zulkifli juga boleh mengusahakan agar setiap tahun dana zakat dan Baitulmal diagihkan kepada penggiat seni konten dan persembahan Islamik bagi tujuan syiar Islam menggunakan media baru dalam konteks fisabillah. Membiarkan usaha kesenian ini ditunjangi dari sudut komersial semata-mata akan melahirkan penggiat yang tidak memperdulikan asas dakwah dan tarbiah Islamiyah.

Bantuan juga dicadangkan disalurkan kepada pemain-pemain teknologi seperti mewujudkan platform pemasaran digital dan membolehkan kita dapat bersaing dan relevan kepada arus modenisasi terutama kepada anak-anak muda remaja. Saya dan ramai lagi umat Islam negara ini pernah berhadapan dengan pengaruh menggila anak-anak kita terhadap artis-artis Korea contohnya namun sebenarnya kesilapannya menunjuk semula kepada saya dan kita yang berada dalam industri muzik kerana gagal berbuat apa-apa.

Bagi Penasyid atau MUNSYID, angka 300 penggiat yang dicatatkan dalam siaran media #ANAM2020 perlulah ditambah lagi kerana ini bukanlah angka yang sebenar bagi mendefinasikan nasyid adalah sebuah industri. Pintu seharusnya dibuka kepada lebih ramai penggiat yang masih berada di luar sekiranya mereka berminat untuk bersama dalam pertubuhan ini atau secara komuniti. Libatkan mereka bersama dalam semua projek-projek pembangunan baik dari segi kualiti rakaman dan persembahan serta juga keusahawanan atau peluang-peluang lain. Usaha projek kolaborasi bersama persatuan seni budaya Islam yang lain harus digerakkan terus dan bukannya hanya berlegar sesama ahli 'elit' Munsyid saja ataupun yang telah popular serta kaya-raya (dulu) sejak berzaman dulu. Usahakan untuk menjadi platform pengembangan nasyid dan genre-genre lain di bawah kategori SENI DAN BUDAYA ISLAM.

Martabat dan Darjat Tidak Perlu Diraih Dari Manusia

Namun dalam usaha mengangkat martabat seni budaya Islam ini, tak perlulah kita meniru cara K-pop atau mana-mana model yang tidak berlandaskan syariah. Tidak perlulah ANAM meniru anugerah Grammy Award, kerana martabat dan darjat ini tidak perlu diraih dari manusia tapi dari Allah SWT. 

Akhirkata

Terima kasih kepada Dato' Saifuddin dan Datuk Senator Dr. Hj. Zulkifli atas menzahirkan keperihatinan dan kepercayaan atas wadah seni budaya Islam bagi kegunaan dakwah dan hiburan ummah. Saya dan team Tvsufi.com tidak berkesempatan lagi bertemu dengan Dato' Senator yang khabarnya terlalu sibuk bagi membincangkan penganjuran 'World Mawlid Celebration 2020' #WMC2020 bulan Oktober lalu. Acara ini telah berlangsung dengan meriah walaupun tanpa nama-nama besar dalam selebriti penasyid atau saf kepimpinan utama negara kecuali Mestica dan penggiat-penggiat kurang ternama dan tersohor. Dengan sokongan komuniti pondok, komuniti sufi dan tokoh-tokoh agamawan serta pendidik yang kuat dan bersifat fisabilillah, 16 negara telah mengambil bahagian dan insyaaAllah ianya akan dijadikan acara tahunan.

Apapun, adalah diharapkan penganjuran ANAM 2020 dan tahun-tahun seterusnya akan mendapat sambutan dan sokongan padu daripada semua pihak sama ada di sektor kerajaan yang lain, korporat, badan bukan kerajaan mahupun orang perseorangan agar ianya mencapai objektif yang diharapkan. Gunalah teguran saya jika sesuai, jika tak sesuai maka abaikanlah. Anggap saja saya sudah 'buang tebiat'! sekurang-kurang untuk memberi ingatan kepada saya sendiri yang juga terlibat dalam industri rakaman dan penerbitan muzik sejak 80an hingga kini. 

Nota: IslamicTunes adalah produk Loonaq Records yang diasaskan oleh saya pada tahun 2011 dan 2017. Sdr. Razin adalah CEO bagi Islamictunes Network PLT sehingga 2019.



Friday, March 23, 2012

PRESS RELEASE: KUMPULAN “SAFIYA” (Kumpulan Nasyid Pop)


Kisah Safiya - Kumpulan Nasyid Muslimah

Safiya menurut asal nama dari Arab bermaksud sahabat sejati, setia dan tulus ikhlas; sementara asal nama dari Swahili pula bermaksud asli atau murni (pure).

Oleh itu, pemilihan nama ini amat bersesuaian dengan ahli-ahli kumpulan SAFIYA yang merupakan sahabat sejati ‘converted muslim’ dan kini aktif dalam aktiviti dakwah khususnya untuk para muallaf dan umat Islam amnya.


PERMULAANNYA…

Usaha penubuhan kumpulan nasyid pop SAFIYA ini dimulakan oleh sdri Leia AzZahra Justin Abdullah yang telah mendapat tawaran dari Loonaq Records membuat rakaman mini album lalu mengajak sahabat-sahabatnya yang sama-sama terlibat dalam siri sitcom muzikal bertajuk “Studio Muallaf” terbitan TV Al-Hijrah iaitu sdri Nurain dan sdri Valerie pada Disember 2011 yang lalu.


Leia berasal dari Penampang, Sabah mula bergiat dalam seni dakwah pada tahun 2008 dengan kemunculan lagu single pertama yang diciptanya sendiri berjudul “Mencari Yang Hilang” yang turut dimuatkan dalam kompilasi album Pop Nasyid terbitan Nova Music. Lagu ini telah berada di dalam Carta IKIM.fm selama 4 bulan selain turut dicalonkan sebagai dalam kategori lagu/lirik serta solo single terbaik dalam Festival Anugerah Nasyid tidak lama dulu.
Sementara itu sdri Nurain T. Abdullah juga berasal dari Sabah bergiat sebagai aktivis muallaf membantu dan berdakwah kepada saudara-saudara baru muslim selain turut serta di dalam sitcom “Studio Muallaf” turut membuat perniagaan freelance salon muslimah. Sebelum Islam, beliau memang bergiat di dalam bidang nyanyian secara serius termasuk menganggotai live band dan menyanyi di kelab-kelab sejak dari umur 18 tahun di Sabah dan seluruh Malaysia.


Sdri Valerie Cassera pula merupakan saudara muallaf yang paling juniour kini sedang dibimbing oleh kedua sahabat-sahabatnya dalam SAFIYA di samping bantuan dari pihak PERKIM Ampang, Malaysia Reverted Muslim dan pihak-pihak lain. Berasal dari Kuching, Sarawak, Valerie merupakan siswazah Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan (UiTM) mula bergiat dalam nyanyian koir sekolah rendah dan menengah. Kini di samping mempunyai pekerjaan tetap, beliau sering meluangkan masa untuk sebarang aktiviti pembelajaran agama Islam yang dianjurkan oleh PERKIM dan beberapa NGO untuk saudara-saudara baru.

Penubuhan Kumpulan Safiya menandakan bermulanya perjuangan ketiga-tiga muslimah saudara baru ini di dalam aktiviti seni nyanyian dakwah. Menurut mereka bertiga antara objektif utama kumpulan ini adalah untuk menambah dan mengukuhkan peralatan dakwah mereka di zaman moden terkini di samping turut menjaga keimanan mereka agar terus kukuh diperbaharui setiap detik dan masa. Mereka berharap akan dapat bertemu dengan lebih ramai umat Islam di negara ini dan luar untuk merapatkan ukhwah dan belajar dari mereka yang lebih berilmu untuk menambah ilmu agama yang terlalu luas ini.

Rakaman Muzik Elektronik

Sebanyak 5 buah lagu telah siap dirakamkan sejak bulan Januari lepas dan judul-judul lagu tersebut adalah:-

1. CINTA MUALLAF
2. KEMBARA KABILAH AKHIR ZAMAN
3. JALAN CAHAYA
4. PAKSI
5. DARI RUANG LAIN

Kesemua lagu dan lirik adalah ciptaan hjrozman dan muziknya disusun dan diterbitkan oleh sdr Othman Masri atau lebih dikenali sebagai Man Senoi yang dulu pernah menerbit dan mengeluarkan album-album 4U2C dan kumpulan acappela SHADES yang telah terjual ratusan ribu unit. Album ini dirakamkan di studio Loonaq di Taman Desa Kundang, Rawang dan sepenuhnya menggunakan kaedah rakaman muzik elektronik.


Konsep album SAFIYA adalah nasyid pop dengan elemen fusion/orkestra/kontemporari dengan lirik-liriknya menyentuh tentang puisi ketuhanan, kesufian atau penyerahan seperti lagu-lagu Cinta Muallaf, Jalan Cahaya dan untuk Nabi Muhammad SAW iaitu Kembara Kabila Akhir Zaman; sementara lagu Paksi berkisar tentang hubungan cinta manusia yang tegas berpaksikan kepada agama dan lagu Dari Ruang Lain pula tentang kiasan hubungan sosial masakini mengenai muhasabah diri dan bertoleransi mengikut sudut pandang (perspektif) yang berbeza.

CINTA MUALLAF KINI DI PASARAN DIGITAL


Lagu single pertama kumpulan SAFIYA bertajuk ‘CINTA MUALLAF’ telah diterbitkan sebagai langkah pertama memperkenalkan SAFIYA dan album mini sepenuhnya akan berada diedaran tidak lama lagi.

Diharap album ini dapat diterima oleh masyarakat Islam keseluruhannya sebagai salah satu wadah perjuangan dakwah islam di samping dapat memberi rasa bertuhankan Allah SWT serta mencontohi/mengikuti sunnah-sunnah Rasulullah SAW. SAFIYA juga berharap lagu-lagu nasyid pop mereka ini dapat menambah motivasi kepada saudara-saudara muslim yang baru dan juga kepada umat Islam lain.