Friday, November 2, 2012

Geran Pembikinan MTV & Promosi Luar Negara



















2 Nov 2012 - Kuala Lumpur. Penggiat industri muzik sudah tentu lega dengan pakej pemberian geran untuk pembikinan video muzik kepada label/artis Msia. Terima kasih diucapkan dan harapnya perlaksanaan atau pemberian ini turut dirasai oleh label-label kecil dan dianggap 'marhaein' oleh segelintir penggiat yang bernaung di bawah label-label antarabangsa dan gergasi-gergasi tempatan.

Walaupun mereka (label antarabangsa dan gergasi tempatan) sebenarnya turut terkesan apabila sistem pemasaran muzik secara fizikal terjejas teruk dengan pembangunan teknologi ICT dan multimedia, tapi mereka masih mampu senyum kerana mempunyai berpuluh-puluh ribu katalog yang kini masih lagi diminati malah lagu-lagu mereka masih diputarkan secara 'produktif' di radio dan TV mainstream.

Kutipan royalti meningkat!

Secara tidak langsung musibah keruntuhan aspek pemasaran fizikal ini (rangkaian kedai-kedai muzik dan berkaitan) sebenarnya merupakan hikmah kepada mereka dengan dapat mengurangkan kos operasi dan pengurusan, antara yang popular ialah dengan memberhentikan pekerja, penggabungan, tetapi sebenarnya hasil daripada kutipan royalti MACP dan PPM juga semakin meningkat. Ini tidak termasuk jualan hasil dari ringtones dari penyedia telekomunikasi tempatan!

Label Antarabangsa vs. Label Indie?

Sudah jelas sebab dan musabab perjuangan label-label antarabangsa dan gergasi label tempatan tidak sama dengan perjuangan dan 'rengekan-rengekan' atau sungutan pemain-pemain kecil seperti label kecil dan artis indie, jadi haraplah kementerian yang dipertanggungjawabkan ini dapat melihat skop dan pandangan pemberian geran-geran ini dari semua sudut, selain dari memastikan aspek komersil turut dipenuhi.

Diharapkan juga selepas kaedah pemberian geran ini dimulakan, kerajaan dapat memulakan geran-geran promosi radio, TV dan media internet sosial yang sememangnya lebih amat diperlukan dibanding dengan geran pembikinan MTV ini, terutamanya oleh label-label sederhana dan kecil seperti yang disebutkan di atas. Soal mempopularkan inilah yang menjadi subjek terpenting kepada pembangunan industri media kreatif berhubung muzik kerana banyak produk atau artis-artis baru mahupun yang veteran yang membuat 'comeback' hilang tanpa suara dan rupa dalam landskap industri akibat gagalnya mereka 'mempopularkan' diri mereka sejajar dengan tuntutan media-media 'mainstream' yang dimiliki oleh konglemerat atau korporat yang hanya ingin menumpang populariti seseorang artis yang telah sedia ada popular atau mempunyai peminat yang ramai.

Geran Promosi Dalam Negara?

Namun geran promosi ke luar negara adalah amat dialu-alukan dan dinantikan. Atas nama promosi, memang inilah yang diharapkan tetapi sudah tentu tidak ramai artis-artis yang di bawah label kecil atau artis-artis indie yang mampu mengeluarkan kos sendiri terlebih dahulu sebelum dapat di 'reimburse' kan oleh kementerian seperti yang dinyatakan dalam syarat-syarat pemberian geran ini.  Hakikatnya kos untuk melaksanakan promosi dalam negara pun masih ramai yang tidak mampu, inikan pula mahu mempromosi di luar negara!

Apapun saya melihat langkah-langkah awal seperti geran ini (bukannya pinjaman seperti yang dilaksanakan dahulu iaitu Dana Industri Kreatif yang diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional) adalah titik mula yang 'exciting' dalam industri muzik yang telah dilupakan oleh pihak kerajaan yang menumpukan seluruh jiwa raga mereka dalam filem dan animasi....

Ayoh kawan-kawan, mari sertai http://loonaq.my   https://loonaqrecords.com sebagai Portal Muzik Online & Digital Distribution anda...